Wednesday, December 2, 2009

Mencari Identiti Diri...

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih...
Selawat Dan Salam atas Rasul Junjungan S.A.W

Ketika Cinta Bertasbih...

Seusai menonton filem Ketika Cinta Bertasbih (KCB), hati terasa sayu. Bukan kerana jalan ceritanya yang menyentuh perasaan saya, tetapi disebabkan oleh terkenang kembali apa yang saya pernah alami sejak dari 01 Oktober 2002 sehingga 26 Oktober 2007. Hati terasa meronta-ronta ingin kembali ke Mesir. Rindukan suasana pengajian tafaqquh, belajar ngaji dengan Syeikh Azim, dan apa sahaja yang banyak mengajar saya erti sebuah kehidupan sebagai seorang mahasiswa. Namun, kerana takdir-Nya, saya beralah dan kembali ke Malaysia. Namun saya sedar, saya bukan gagal, tetapi hanya belum berjaya.

Diam tak diam, sudah 2 tahun saya meninggalkan bumi Mesir dan sudah 2 tahun juga saya berjauhan dengan para ulama, tok guru, "sahabat", dan kawan-kawan saya. Tahniah kepada kawan-kawan yang sudah menamatkan pengajiannya pada tahun ini. "Sahabat" saya pula akan menyusul menamatkan pengajian pada 2010. Penantian adalah satu penyiksaan, tetapi saya kagumi semangatnya yang masih lagi tabah dan setia. :)

Aidil Adha 1430 H

Aidil Adha tahun ini adalah Aidil Adha kedua saya menyambutnya di Medan, Indonesia. Alhamdulillah kami dikurniakan rezeki yang melimpah rumah. Banyak sungguh daging korban yang diterima berbanding tahun lepas. Namun yang lebih penting lagi, ini adalah tahun terakhir saya berhari raya di perantauan. Saya teringat peristiwa tiga tahun yang lalu (2006). Saya pernah berniat untuk membuat korban pada tahun 2007 dengan hajatnya untuk menyembelih
sendiri. Tetapi, semuanya berkubur sekelip mata kerana terpaksa pulang ke Malaysia pada 2 minggu selepas Syawal. Hanya Allah yang tahu betapa remuknya hati saya di saat itu. Rezeki saya bukan di Universiti al-Azhar as-Syariff, Kaherah tetapi rupanya di Institut Agama Islam Negeri Sumatera Utara, Medan.

Skripsi

Saya kini meniti detik terakhir untuk menamatkan pengajian sebagai seorang sarjana. Namun, masih lagi diuji dengan masalah skripsi. Ada kawan-kawan yang sibuk menyiapkan skripsi kerana sudah mendapat pembimbing.Tetapi saya masih lagi menanti untuk diterima judul. Kerana kesilapan diri yang kurang peka, telah mengakibatkan tajuk pertama ditolak mentah-mentah sewaktu seminar proposal. Belajar dari kesilapan boleh membantu kita membuat yang
terbaik.

Tetapi hari ini, 02 Disember 2009 tajuk saya telah diterima. Walaupun hampir2 ditolak, namun akhirnya diterima dengan pembaikan judul serta penambahan data dan contoh2 permasalahan yang ditimbulkan... Perihal skripsi akan saya ulas pada entry seterusnya...

Baca Lagi...

Friday, November 20, 2009

Pantun Tudung...

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih...
Selawat Dan Salam atas Rasul Junjungan S.A.W

Mencari Idea...

Tengah memikir-mikir nak tulis entry terbaru, sambil tengok-tengok hasil penulisan orang lain, tiba-tiba saya terjumpa sebuah pantun nasihat yang dipanggil Pantun Tudung. Mungkin ada yang boleh diambil pengajaran daripadanya.....

Mungkin ada yang memandang enteng terhadap pantun ini, namun yang penting isinya dibaca dan diambil pengajaran sebagai didikan kepada diri sendiri...

Pantun Tudung...

Tutup aurat satu tuntutan,
Dalam keluarga wajib tekankan,
Kalau keras hati gunalah rotan,
Demi melaksanakan perintah Tuhan.

Aurat ditutup mestilah lengkap,
Tudung litup termasuk skap,
Mini telekong pun org cakap,
Elok dipandang tak payah pun 'make up'.

Berbaju kurung bukanlah mengurung
Lebih elok jubah jika direnung,
Kaki pula eloklah bersarung,
Agar syaitan susah nak bertarung.

Kalau wanita menutup aurat,
Org jahat tk berani ngorat,
Bahkan boleh menjadi ubat,
Org memandang boleh bertaubat.

Pakaian modern memanglah hebat,
Harganya mahal walaupun ketat,
Walaupun cantik tapi singkat,
Orang memakai pun nampak pusat.

Berseluar ketat baju pun ketat,
Jarangnya pulak boleh dilihat,
Orang yg memakai memanglah dipandang jahat,
Dimurka oleh Allah, Rasul & para malaikat.

Apa yang aneh bila dipandang,
Lengan pendek tapi bertudung,
Nampak seperti orang yang kudung,
Mata memandang ketiak seperti ikan lolong.

Lagilah aneh bila difikir,
Baju kebaya tudung berukir,
Nampak dada iman terjungkir,
Kain terbelah peha terukir.

Bila ditanya kenapa begitu,
Dia kata fesyennya dah macam tu,
Di dalam hati niat tertentu,
Menggoda jantan sudah lah tentu.

Menutup aurat boleh berfesyen,
Tapi jangan menunjuk eksyen,
Sesuaikan diri ikut profesyen,
Kalau dilaknat tak guna sesen.

Kalau nk "Make Up" biarlah padan,
Jangan terlebih bila berdandan,
Minyak wangi juga fikirkan,
Bedak & gincu sekadar keperluan.

Kasut tinggi cuba jauhi,
Kerana ia melahirkan bunyi,
Boleh menarik perhatian lelaki,
Perbuatan ni dibenci Ilahi.

Apatah lagi menghentakkan kaki,
Menarik perhatian orang laki2,
Melenggok punggung membinasakan diri,
Ustaz melihat pun separuh mati.

Buat apa nak tayang jambul,
Kecantikan tak usah ditonjol2,
Mahkota disimpan tak jadi bisul,
Memakai tudung Islam tersimbol.

Seloka ku ni bukanlah jahat,
Cuma saja mau peringat,
Kepada semua para sahabat,
Terutama sekali rakan sejawat.

Kalau nak ikut nasihat ni,
Jangan bertangguh ubahla diri,
Benda yang baik tak payah diuji,
Akan terserlah akhlak terpuji.

Kepada semua kawan lelaki,
Jangan tergelak wanita diperli,
Keluarga kita tak terkecuali,
Terutama sekali anak & bini.

Sudahkah kita tanamkan iman,
Menutup aurat sepanjang badan,
Ke sana sini dilindungi Tuhan,
Keluarga menjadi contoh teladan.

Setakat ni seloka kami,
Harap dapat menghibur hati,
Apa yang baik hendaklah ikuti,
Kalau boleh besok amali.

Baca Lagi...

Thursday, November 5, 2009

Di Jalan Dakwah Aku Menikah.....

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih...
Selawat Dan Salam atas Rasul Junjungan S.A.W

Mencari Judul...

Hampir-hampir aku berputus asa. Teman-teman serumah semuanya sudah diterima judul. Tetapi aku? Masih terkapai-kapai mencari judul skripsi yang sesuai. Kenapa ye? Dugaan demi dugaan, sedangkan masa semakin suntuk. Kaffarah kepada diri supaya selalu muhasabah dan memperbaiki setiap kesalahan.


Dalam setiap perjalanan, jika tidak ada halangan, sudah pasti sampai ke destinasinya. Cepat atau lambat, bergantung kepada keadaan. Kadang-kadang kita memang dah merancang dengan baik, tetapi Allah yang menentukan semuanya. Jika bukan kesalahan kita, disebabkan orang lain kita pun boleh tergendala. Tetapi, kita masih boleh berusaha.

Di Jalan Dakwah Aku Menikah

Di Jalan Dakwah Aku Menikah adalah judul buku yang sedang aku baca ketika ini. Sebuah karya hasil tulisan Ustadz Cahyadi Takariawan. Orang akan memAndang sinis jika melihat pada tajuk, tetapi hakikatnya banyak perkara yang boleh dipelajari daripadanya. Ingin saya nukilkan sedikit isi dari hasil pembacaan saya (sebab belum habis membacanya). Bukanlah dari hasil tulisan Ustadz Cahyadi, tetapi adalah nukilan isteri beliau iaitu Ibu Ida Nur Laila di dalam kata pengantarnya. Saya telah edit sedikit untuk memudahkan ia difahami.

Ibu Ida Nur Laila telah menulis di dalam buku ini dengan :

Menikah, sepertinya indah dan penuh bunga-bunga harapan. Memulai hidup berdua dengan seseorang yang (akan) kita cintai sepenuih hati. Membingkai ibadah dalam sebuah rumah tangga, satu keindahan yang tak bisa diungkap dengan kata-kata.

Tetapi nikah juga menyiratkan segurat kekhawatiran. Mungkinkah ada seseorang yang “tepat” bagi saya? Bukan hanya tepat dalam pAndangan fisik duniawi, tetapi tepat dalam semangat dan cita-cita untuk senantiasa produktif berkarya bagi umat.

Pernikahan adalah sebuah fase dalam kehidupan manusia. Pernikahan bukanlah terminal terakhir, bahkan ia menjadi awal bagi sebuah proses perubahan. Artinya, janganlah Anda berharap akan menemukan seseorang dengan segala sifat kesempurnaan sesuai idealitas yang Anda bangun. Bahkan jika Anda agak lambat mendapat pencerahan, proses perubahan atau pembalikan menuju kebaikan, bisa saja dimulai setelah beberapa waktu pernikahan berjalan. Tak ada kata terlambat. Hanya saja jika salah pilih, prose situ akan berjalan lambat, atau bahkan akan bergeser dari arah kebaikan.

Anda jangan hanya ingin “terima jadi”, bahwa seorang ikhwan yang ideal, atau akhawat yang sempurna, datang kepada Anda dan memenuhi segala criteria yang Anda harapkan. Tetapi Anda harus rela dan berani untuk bersama-sama membangun peribadi yang diharapkan. Menerima tidak hanya pada kelebihannya, tapi juga pada kekurangan yang pasti ada padanya, sebagaimana juga ada pada Anda. Yang penting Anda mantap bahwa ia yang terpilih adalah seorang yang memiliki visi dan misi yang sama.

Itulah antara apa yang telah dicoretkan oleh Ibu Ida Nur Laila di dalam buku tersebut. Ingin dijelaskan bahawa jika kita mahukan yang terbaik, kita mestilah menjadi yang terbaik. Bagaiman caranya, jawapannya ada pada diri masing-masing.

*Adakah saya boleh menjadi yang terbaik untuk .......?

Baca Lagi...

Tuesday, November 3, 2009

Mencari Arah...

1. Kecewa kerana proposal kene tolak sebab tak berkait dengan jurusan Ahwal Syakhsiah, jadi kene buat tajuk baru.

2. Pening nak buat proposal baru, agak2 apa tajuk yang sesuai?

3. Masa aku bentang proposal, kene soal dari 4 sudut (wakil dari Jurusan Muamalat, Jinayat, Ahwal Syakhsiah dan Sekretaris Jurusan Ahwal Syakhsiah), tapi time kawan2 selepas tu, mereka disoal dari 2 sudut (Ahwal Syakhsiah dan Sekretaris Jurusan Ahwal Syakhsiah) sahaja. Rezeki mereka.

4. Kepimpinan MPMM sudah berubah. Tunggu2 juga parasit2 yang banyak cakap dating, tapi tak berani tunjuk muka. Yang datang membising pun, rupanya tak bayar yuran. Tak layak untuk mengikuti persidangan. Sama je dengan Pengerusi Tetap. Tak berkredibiliti langsung.

* akhirnya budak2 UMNO yang kuasai melalui boneka mereka. Abis budak2 pro mahasiswa sendiri tak turun padang mengundi calon mahasiswa...

Baca Lagi...

Tuesday, October 27, 2009

Sistem Pesanan Ringkas (SMS)...

Selawat dan salam atas Rasul Junjungan s.a.w

Short Messages System atau Sistem Pesanan Ringkas lebih dikenal dengan SMS sangat sinonim dengan kita. Jika 10 tahun yang lalu, hanya golongan yang agak berada ataupun mewah memiliki kemampuan bertelefon bimbit, namun kini ianya adalah satu keperluan. Bahkan juga ada yang mampu untuk memiliki lebih dari satu unit telefon bimbit yang mempunyai nombor jaringan yang berbeza.

Saya geram apabila orang yang saya mesej tidak membalas ataupun lambat membalas. Saya tidak suka lambat balas mesej kerana saya tidak mahu orang tertunggu-tunggu, begitu juga saya tidak suka orang lambat membalas mesej saya kerana saya tidak suka menunggu. Sebab itu apabila berjanji dengan orang dan orang tersebut tidak menepati janji atau lewat, saya tidak akan berurusan dengannya perihal yang melibatkan masa melainkan orang itu memang sudah berubah kepada orang yang menepati masa.

Mungkin alasannya kredit tidak ada, tetapi saya sebenarnya memang susah untuk menerima alasan tersebut. Entahlah. Ada sesetengah orang jika nak mesej atau membalas mesej kawan sejenis bukan main susah, tetapi jika yang berlainan jenis, cepat pula bertindak. Bahkan yang lebih teruk jika saudara kandung punya mesej diabaikan tanpa respon, tetapi yang kawan pula lebih diutamakan. Tetapi yang lebih malang lagi apabila mesej untuk ibu atau bapa diambil mudah berbanding kawan-kawan.

Entry ini bukanlah berniat untuk ditujukan kepada sesiapa, tetapi saya nak luahkan ketidak puashatian saya di dalam blog ini kerana blog ini adalah blog saya dan saya bertanggungjawab dengan apa yang saya tulis….

Baca Lagi...

Monday, October 19, 2009

Terima Kasih...

Selawat dan salam atas Rasul Junjungan s.a.w

Membaca komen dari Fairuz di atas komennya melalui entry saya Menuju Garis Penamat… membuatkan saya tersenyum. Rupa-rupanya masih ada lagi kawan yang sudi membaca blog saya. Huhuhuhu. “Maaflah Pai sebab ambil headernye je….. Kau pun tau yang aku ni memang jenis cerewet orangnya…”

Fairuz telah membantu saya membangunkan kembali blog saya yang telah dijelmakan semula. Tetapi alamat url nya masih yang sama, tetapi tak banyak yang berubah. Tapi isinya masih entah apa-apa entah….. Memang tahap kerajinan saya untuk update telah hilang entah ke mana. Sehinggakan mendapat teguran dari Najmi, Fairuz, Akhmal, Firdaus Sulaiman (walaupun dia lagi lama tak update), Noreha dan lain-lain yang saya tak ingat namanya.

Melihat kepada kawan-kawan yang rajin mengupdate blog membuatkan saya cemburu, terutamanya kepada Akhmal. Rajin betul mamat sorang ni. Jika dihiris lengannya, mungkin darah hijau yang akan mengalir. Saya doakan semoga semangat dan roh perjuangan yang ada padanya akan istiqamah dan tidak luntur seperti kawan-kawan yang pernah saya kenal. Allah yang memberikan hidayah, namun sekiranya hati kita dipalingkan dari jalan-Nya, hanya Allah yang tahu sebabnya.

Namun, apabila telah setahun mengharungi kehidupan di bumi Indonesia ini, banyak yang telah saya pelajari. Sebelum-sebelum ini, saya tertanya-tanya juga kenapa Indonesia kerap kali dilanda bencana. Semasa belajar di sekolah menengah dulu, memangla Indonesia ini termasuk di dalam lingkungan Negara yang berada di jaluran gempa bumi. Tetapi, hanya kebelakangan ini dapat disaksikan kekerapan berlakunya bencana alamnya. Tapi kini, saya sudah mula mendapat jawabannya, iaitu Islam Liberal. Saya akui aliran Islam Liberal semakin kuat di sini, tetapi hal ini akan saya rungkaikan dalam entry yang berikutnya.

Keterbatasan waktu kerana skripsi dan lain-lain urusan yang terpaksa diharungi.Maaf zahir batin.
Wassalam… adios

Baca Lagi...

Saturday, October 17, 2009

10 Hak...


SEBELUM Imam Syafie pulang ke rahmatullah, beliau sempat berwasiat kepada para muridnya dan umat islam seluruhnya. Berikut ialah kandungan wasiat tersebut:
Barangsiapa yang ingin meninggalkan dunia dalam keadaan selamat maka hendaklah ia mengamalkan sepuluh perkara iaitu :

PERTAMA : HAK KEPADA DIRI.
Iaitu : Mengurangkan tidur, mengurangkan makan, mengurangkan percakapan dan berpada-pada dengan rezeki yang ada.

KEDUA : HAK KEPADA MALAIKAT MAUT
Iaitu : Mengqadhakan kewajipan-kewajipan yang tertinggal, mendapatkan kemaafan dari orang yang kita zalimi, membuat persediaan untuk mati dan merasa cinta kepada Allah.

KETIGA : HAK KEPADA KUBUR
Iaitu : Membuang tabiat suka menabur fitnah, membuang tabiat kencing merata-rata, memperbanyakkan solat Tahajjud dan membantu orang yang dizalimi.

KEEMPAT: HAK KEPADA MUNKAR DAN NAKIR
Iaitu : Tidak berdusta, berkata benar, meninggalkan maksiat dan nasihat menasihati.

KELIMA : HAK KEPADA MIZAN (NERACA TIMBANGAN AMAL PADA HARI KIAMAT)
Iaitu : Menahan kemarahan, banyak berzikir, mengikhlaskan amalan dan sanggup menanggung kesusahan.

KEENAM : HAK KEPADA SIRAT (TITIAN YANG MERENTANGI NERAKA PADA HARI AKHIRAT)
Iaitu : Membuang tabiat suka mengumpat, bersikap warak, suka membantu orang beriman dan suka berjemaah.

KETUJUH : HAK KEPADA MALIK (PENJAGA NERAKA)
Iaitu : Menangis lantaran takutkan Allah SWT, berbuat baik kepada ibu bapa, bersedekah secara terang-terangan serta sembunyi dan memperelok akhlak.

KELAPAN : HAK KEPADA RIDWAN (MALAIKAT PENJAGA SYURGA)
Iaitu : Berasa redha dengan Qadha' Allah, bersabar menerima bala,bersyukur ke atas nikmat Allah dan bertaubat dari melakukan maksiat.

KESEMBILAN : HAK KEPADA NABI SAW
Iaitu : Berselawat ke atas baginda, berpegang dengan syariat, bergantung kepada as-Sunnah (Hadith), menyayangi para sahabat, dan bersaing dalam mencari keredhaan Allah.

KESEPULUH : HAK KEPADA ALLAH SWT
Iaitu : Mengajak manusia ke arah kebaikan, mencegah manusia dari kemungkaran, menyukai ketaatan dan membenci kemaksiatan.

Baca Lagi...

Thursday, October 15, 2009

Menuju Garis Penamat...

Alhamdulillah, pada 13 Oktober 2009 yang lalu, tajuk skripsi saya telah diterima oleh Ketua Jurusan Ahwal Syakhsiah, Kuliah Syariah. Nampak macam mudah, tapi hakikatnya hanya Allah yang tahu.

Sebanyak 2 judul yang telah diajukan yaitu (1) Penyelewengan Perhubungan Antara Lelaki dan Perempuan Serta Dampak Negatifnya Kepada Moral Masyarakat dan (2) Peraturan/Enakmen Pusat Zakat majlis Agama Islam Negeri Johor tentang Tatacara Pelaksanaan Pembayaran Zakat Melalui Sistem Potongan Gaji di Johor Darul Takzim.

Saya Merancang, Tapi Allah Juga Merancang…

Pada mulanya, saya memang berkeyakinan bahawa tajuk pertama akan diterima. Oleh kerana itu, bahan2 yang berkaitan sudah ku bawa dari Malaysia. Manakala tajuk yang kedua adalah sebagai tajuk alternatif sekiranya tajuk pertama sudah pernah dibahaskan. Namun perancangan Allah mengatasi segala-galanya dengan tajuk yang kedua pula diterima oleh pihak jurusan. Ini adalah kerana tajuk tersebut dikatakan menarik untuk dikaji disebabkan system ini masih lagi belum digunakan di Indonesia.

Setelah judul diterima, peringkat seterusnya adalah penyediaan proposal untuk dibahaskan oleh Senat Penilai Skripsi sebelum mahasiswa diberikan pembimbing bagi membimbing di dalam pengisian bahan skripsi dan bimbingan kesesuaian bahasa yang digunakan.

Jadi, selepas ini seandainya ada yang mencari atau cuba menghubungi saya, tetapi tidak dapat, anggaplah saya berada di luar kawasan kerana sibuk menyiapkan skripsi. Tetapi sekiranya ada yang berhajat membantu memberikan metode @ bahan2 yang boleh menyumbang kepada penghasilannya, boleh berhubung terus kepada saya di email ini atau +6287868655700. Harap2 kepada sahabat2 seperti Fairuz dan Firdaus dapatlah membantu saya.

Wassalam.

• Penghasilan skripsi adalah tahapan terakhir yang mesti dilalui oleh mahasiswa setelah menghabiskan kesemua mata kuliah bagi memperoleh gelar Sarjana. Skripsi adalah karya ilmiah setebal minima 60 muka surat yang mesti dihasilkan oleh Mahasiswa Institut Agama Islam Negeri-Sumatera Utara khususnya dan Mahasiswa yang belajar di Universiti di Indonesia secara umumnya. Jika di Malaysia, ia boleh diibaratkan sebagai tesis.
• Tahniah kepada skuad Johor FC diatas kejayaan mara ke suku akhir Piala Malaysia. heheheheh

Baca Lagi...

Saturday, October 10, 2009

Ukhuwah Malaysia-Indonesia Kian Pudar?

Penulis sudah kembali ke Medan setelah bercuti lebih kurang 3 minggu sempena lebaran. Ramai juga yang tanya bagaimana keadaan di Medan, Sumatera Utara. Adakah keadaan di sana selamat selepas kejadian gempa bumi yang melanda Padang, Sumatera Barat? Jadi ingin penulis jelaskan bahawa Alhamdulillah keadaan di Medan selamat dan harap2nya akan terus selamat. huhuhu.

Ramai yang tertanya-tanya bagaimana keselamatan bagi rakyat Malaysia yang ada di Indonesia selepas berlakunya provokasi bodoh lagi dungu yang dilakukan oleh media massa Indonesia yang menganjurkan kempen “Sweeping Malaysia” atau “Ganyang Malaysia”. Sehinggakan Malaysia digelar dengan “MALINGSIAL”. Namun apa yang jelas, hanya sebahagian kecil rakyat Indonesia yang tidak berpendidikan terkesan dengan hal yang sedemikian. Namun apa yang jelas sekarang, isu tersebut sudah sedikit reda dan sejuk lebih-lebih lagi selepas apa yang berlaku kepada bahagian Sumatera Barat Indonesia. Mungkin Allah turunkan bala bagi memberikan peringatan kepada mereka.

Sebelumnya, penulis sendiri tertanya-tanya kenapa ada sebahagian kecil rakyat Indonesia yang tergamak menganjurkan kempen menghapuskan orang Malaysia, bahkan ada di antara mereka yang bodoh itu sanggup menghantar surat ugutan bunuh kepada pelajar Malaysia yang belajar di Medan, sedangkan mereka sendiri sepatutnya sedar diri bahawa terdapat ramai bangsa Indonesia yang mencari rezeki, menyara keluarga dan berkelana di Malaysia. Memang diakui terdapat sebahagian kecil di antara bangsa Indonesia yang membenci Noordin Mat Top, Dr Azhari kerana mereka dituduh sebagai pengganas sedangkan pada pandangan sebahagian dari mereka kedua-dua merekan ini dianggap sebagai wira dan mereka mati dalam keadaan syahid. Wallahu A’lam….. Akan tetapi, hal2 seperti tarian Pendet, Reog Ponorogo, batik, dan hal-hal lain tidaklah sepatutnya dijadikan sebagai sebab utama untuk dijadikan alas an untuk berperang dengan Malaysia.

Di sini penulis ingin memetik tulisan Ahmad Muhajir yang telah disiarkan di dalam akhbar Harakah versi cetak bilangan 1476 edisi Jumaat yang secara ringkasnya menyebut bahwa memang terdapat sebahagian kecil Tenaga Kerja Indonesia (TKI) yang membawa maslah sosial dan keharmonian masyarakat Malaysia, namun adalah perlu diketahui bahawa kedatangan mereka yang baik-baik banyak membantu proses pembangunan Malaysia, terutama dalam bidang pembinaan dan perkebunan.

Apa yang jelas kini, Malaysia tidak mempunyai sifat dendam terhadap Indonesia. Hal ini dapat dilihat selepas kejadian gempa baru-baru ini di Sumatera Barat yang mana Malaysia adalah antara Negara terpantas menghulurkan bantuan kemanusiaan. Itu belum lagi dilihat sumbangan dari masyarakat Malaysia yang bertali arus tanpa “mengambil hati” atas apa yang telah dilakukan oleh sebahagian kecil masyarakat Indonesia.

Semoga apa yang dicanang-canang selama ini bahawa Malaysia dan Indonesia adalah Negara serumpun direalisasikan tanpa ada rasa prejudis dan dendam kerana kita saling memerlukan antara satu sama lain…..

Islam Memimpin Perubahan….

Baca Lagi...

Sunday, September 20, 2009

Selamat Hari Raya Aidilfiti...


Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf Zahir Batin...


Baca Lagi...

Friday, September 18, 2009

Pergaulan Bebas...

Di antara jalan-jalan yang diharamkan Islam ialah bersendirian dengan perempuan lain. Yang dimaksudkan dengan perempuan lain iaitu bukan isteri, bukan salah satu kerabat yang haram dikahwin untu selama-selamanya seperti ibu, saudara dan sebagainya.

Ini bukan bererti menghilangkan kepercayaan kedua belah pihak atau salah satunya, tetapi demi menjaga kedua insan tersebut dari perasaan yang tidak baik yang biasa bergelora dalam hati ketika bertemunya dua jenis itu tanpa ada orang ketiganya.

Dalam hal ini, Rasullullah s.a.w bersabda sebgai berikut : “Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhir, maka jangan sekali-sekali dia bersendirian dengan seorang perempuan yang tidak bersama mahramnya, kerana yang ketiganya adalah syaitan.” Riwayat Ahmad.

“Jangan sekali-kali salah seorang di antara kamu menyendiri dengan seorang perempuan kecuali bersama mahramnya.”

Imam Qurtubi dalam menafsiri firman Allah s.w.t yang berkenaan dengan isteri-isteri Nabi, iaitu yang tersebut dalam surah al-Ahzab ayat 53 yang ertinya :
“Apabila kamu meminta sesuatu (makanan) kepada mereka (isteri-isteri Nabi), maka mintalah dari balik tabir. Kerana yang demikian itu lebih dapat membersihkan hati-hati kamu dan hati-hati mereka itu. "

Maksudnya adalah perasaan-perasaan yang timbul dari orang lelaki terhadap orang perempuan dan perasaan orang perempuan terhadap orang lelaki. Cara seperti itu lebih mudah untuk menghilangkan perasaan bimbang dan lebih dapat menjauhkan dari tuduhan yang bukan-bukan dan lebih positif untuk melindungi keluarga.

Ini bererti, bahawa manusia tidak boleh percaya pada diri sendiri dala hubungannya dengan masalah bersendirian dengan seorang perempuan yang tidak halal baginya. Oleh kerana itu, menjauhi hal tersebut akan lebih baik dan lebih dapat melindungi serta lebih sempurna penjagaannya.

Baca Lagi...

Wednesday, September 16, 2009

Berkawanlah Dengan Orang Berjaya...

Rasullullah s.a.w sendiri pernah bersabda, "Kalau mahu kenal seseorang itu maka kenallah kawan-kawannya".

Oleh itu sekiranya anda memilih kawan yang positif, bergaul dengan mereka yang berjaya, banyak berbincang tentang apa yang mahu dicapai dimasa hadapan, pastinya ia akan mempengaruhi pemikiran dan tindakan harian anda.

Pastinya anda turut terdorong untuk mencapai kejayaan dalam hidup anda pula. Mereka yang gagal hanya akan mampu menceritakan kisah-kisah kegagalan mereka sedang mereka yang berjaya pula akan menceritakan kisah-kisah kejayaan mereka.

Untuk berjaya anda perlu berkawan dengan mereka yang berjaya juga. Belajar dari pengalaman dan pengetahuan mereka. Belajar tentang cara mereka membentuk personaliti mereka dikalangan masyarakat. Orang yang berjaya selalunya mempunyai personaliti yang mengkagumkan. Personaliti ini bukannya semula jadi sebaliknya mereka berusaha membinanya. Anda juga boleh melakukan perkara yang serupa...

Baca Lagi...

Saturday, September 12, 2009

Adab Menuntut Ilmu...

Telah berkata al-Imam as-Syafie r.a : Aku mengadu kepada guruku, Waqi' akan kesusahanku menghafal. Maka dia menasihati supaya aku tinggalkan maksiat. Ketahuilah ilmu itu cahaya dan cahaya Allah itu tidak diberikan kepada orang yg melakukan maksiat.

من حفظ على الآداب حفظ على السنن, ومن حفظ على السنن حفظ على الفرائض, ومن حفظ على الفرائض كتب له الايمان ومات عليه

"Siapa yang menjaga adab maka dia telah menjaga sunnah (amalan-amalan sunat). Dan siapa yang menjaga sunnah maka dia telah menjaga fardhu (amalan-amalan fardhu). Dan siapa yang menjaga fardhu maka akan dituliskan kepadanya keimanan dan dia akan dimatikan bersama-sama iman."

Di antara adab2 menuntut ilmu :
Imam Al-Ghazali telah menggariskan lapan Adab Penuntut Ilmu di dalam kitabnya Bidayah Al-Hidayah:

Jika kamu seorang pelajar, maka adab pelajar bersama guru adalah :

1- Memulakan (perbicaraan atau pertemuan) dengan salam
2- Mengurangkan bercakap ketika bersama guru.
3- Tidak mengatakan apa yang tidak disoal (atau diminta) oleh gurunya.
4- Tidak bertanya sebelum meminta izin darinya.
5- Tidak berkata untuk menyanggah kata-katanya. Contohnya: "Telah berkata seseorang berbeza dengan apa yang kamu katakan". - maksudnya, jangan berkata mengenai pendapat, pandangan atau kata-kata yang berbeza daripada pendapat guru.
6- Tidak menunjukkan tentang perbezaan pendapat kamu dengannya. Sehingga menyangka yang kamu lebih betul daripada guru.
7- Tidak bercakap dengan orang lain (hadirin) ketika di majlisnya.
8- Tidak banyak bergerak (ke kiri dan ke kanan). Duduk diam dan tenang penuh beradab seperti ketika solat.
9- Tidak banyak bertanya kepadanya ketika guru letih atau penat.
10- Bangun (berdiri) ketika guru bangun.
11- Tidak mengajuk dengan kata-katanya dan soalan-soalannya.
12- Tidak bertanya ketika guru sedang berjalan kecuali setelah sampai di rumahnya (atau tempat yang dituju).
13- Tidak berburuk sangka dengan perbuatannya walaupun zahirnya salah disisi kita. Sesungguhnya guru itu lebih tahu apa yang beliau lakukan. Seperti yang berlaku antara nabi Musa dan nabi Khidir a.s.

Baca Lagi...